Thursday, December 24, 2009

HARI ‘ASYURA - 10 MUHARRAM

HARI ‘ASYUURAA’ ----- SEJARAH DAN KELEBIHANNYA




Perkataan ‘Asyuuraa’ (عاشوراء)diambil dari lafaz Al-‘Aasyir (العاشر)yang membawa maksud sepuluh. Ini berketepatan dengan hari itu iaitu hari yang kesepuluh dari bulan Muharram. Dalam penggunaan istilah Islam, bilangan hari keesokannya diambil dari malam sebelumnya. Ini bermakna setelah berlalu malam ‘Asyuuraa’ barulah terbitnya fajar siang hari ‘Asyuuraa’. Ini bersesuaian juga dengan penggunaan pada bulan Ramadhan. Sebagai contoh, kita akan melalui malam ke-27, barulah keesokan harinya dinamakan hari ke-27 Ramadhan.



SEJARAH PUASA HARI 'ASYUURAA’



عن عائشة قالت: كان قريش تصوموا عاشوراء في الجاهلية، وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصومه. فلما هاجر الى المدينة صامه وأمر بصيامه. فلما فرض شهر رمضان قال: من شاء صامه ومن شاء تركه.

(رواه البخاري ومسلم وأحمد ومالك وأبو داود والترمذي وابن ماجه)



Dari Aisyah berkata: Kaum Quraisy mereka berpuasa ‘Asyuuraa’ pada zaman jahiliah, dan Rasulullah saw juga berpuasa. Apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah baginda berpuasa dan menyuruh sahabat yang lain berpuasa. Apabila difardhukan puasa Ramadhan baginda berkata: Barangsiapa yang mahu berpuasa (‘Asyuuraa’) maka teruskanlah, barangsiapa yang tidak mahu maka tinggalkanlah. (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Malik, Abu Daud, Tirmizi & Ibnu Majah)



عن ابن عباس قال: قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة فرأى اليهود تصوم عاشوراء، فقال: ما هذا؟ قالوا: يوم صالح، نجى الله فيه موسى وبني إسرائيل من عدوهم، فصامه موسى، فقال النبي: أنا أحق بموسى منكم، فصامه وأمر بصيامه. (رواه البخاري ومسلم وأحمد وأبو داود وابن ماجه)



Dari Ibnu Abbas berkata: Setibanya Rasulullah saw di Madinah, dilihatnya penduduk Yahudi Madinah berpuasa ‘Asyuuraa’. Bertanya Rasulullah: Apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari yang Allah swt menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel dari musuh mereka, maka berpuasalah Nabi Musa. Rasulullah berkata: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu semua. Maka berpuasalah Rasulullah dan disuruh sahabat yang lain berpuasa. (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)



++ Nabi saw berpuasa ‘Asyuuraa’ sebelum diangkat menjadi Rasul kerana mengikut adat penduduk Makkah. Sesudah menjadi Rasul, baginda berhenti dari berpuasa ‘Asyuuraa’ kerana menganggap ia adalah amalan jahiliah penduduk Makkah. Namun setelah tiba di Madinah, baginda mengetahui bahawa berpuasa ‘Asyuuraa’ merupakan daripada syariat Nabi Musa, maka baginda berpuasa dan disuruh juga sahabat yang lain. (Rujukan: Al-Muntaqa Syarah Muwattho’)



++ Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu semua…Kata-kata Rasulullah ini dituju kepada Yahudi Madinah. Mereka beriman dengan Nabi Musa, namun mereka merubah segala syariat Nabi Musa sewenangnya. Manakala Nabi Muhammad beriman dengan Nabi Musa, baginda mengikut syariat Nabi terdahulu selagi mana tidak diwahyukan perkara baru untuk menggantikan syariat tertentu yang terdahulu. (Rujukan: Zaadul Ma’ad karangan Ibnu Qayyim)



++ Sejarah membuktikan Baginda tiba di Madinah pada bulan Rabiul Awwal, maka bagaimana hadis ini menjelaskan baginda melihat penduduk Madinah berpuasa ‘Asyuuraa’? Jawapannya, maklumat ini disingkap dari kata-kata sahabat, mereka berkongsi maklumat dengan Rasulullah tentang amalan penduduk Madinah. Maka apabila baginda mengetahui mereka mengamalkan puasa ‘Asyuuraa’, maka ditanyalah baginda dengan lebih lanjut. Maka tercetuslah hadis di atas.(Rujukan: Zaadul Ma’ad karangan Ibnu Qayyim)



KELEBIHAN BERPUASA HARI ‘ASYUURAA’



عن أبي قتادة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم يوم عرفة، فقال: يكفر السنة الماضية والباقية، وسئل عن صوم يوم عاشوراء، فقال: يكفر السنة الماضية، وسئل عن صوم يوم الإثنين، فقال: ذلك يوم ولدت فيه، وبعثت فيه، وأنزل علي فيه. (رواه مسلم)



Dari Abi Qatadah berkata: Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari Arafah, baginda menjawab: Diampunkan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Ditanya tentang puasa hari ‘Asyuuraa’, baginda menjawab: Diampunkan dosa setahun yang lepas. Ditanya tentang puasa hari Isnin, baginda menjawab: Itulah hari aku dilahirkan, hari aku diangkat menjadi Rasul, dan hari diturunkan Al-Quran padaku buat kali pertama. (Riwayat Muslim)



++ -- Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan di sini adalah dosa-dosa kecil sahaja. Jika seseorang itu tidak mempunyai dosa kecil, moga-moga diringankan dosa besarnya. Jika tiada juga dia berdosa besar, akan diangkat darjat & martabatnya di sisi Allah azza wajall --.



SUNNAH NABI DALAM BERPUASA ‘ASYUURAA’



عن ابن عباس قال: لما صام رسول الله يوم عاشوراء، وأمر بصيامه قالوا: يا رسول الله، إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى. فقال: إذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع. قال: فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله. (رواه مسلم وأبو داود)



Dari Ibnu Abbas berkata: Ketika Rasulullah saw berpuasa hari Asyuraa’ dan menyuruh sahabat yang lain berpuasa juga, mereka berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya ini adalah hari kebesaran Yahudi dan Nasrani. Maka berkata Rasulullah: Jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa juga pada hari yang ke-9 pada tahun hadapan. Berkata Ibnu Abbas: Rasulullah saw tidak berkesempaian untuk menunaikannya kerana telah wafat sebelum itu. (Riwayat Muslim dan Abu Daud)



++ Pendapat Imam Asy-Syafie dan Imam Ahmad, disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan juga ke-10 berdasarkan pada hadis ini. (Rujukan: Taudih Al-Ahkam Min Bulughil Maram, karangan Abdullah Al-Bassaam)



++ Jika tidak berpuasa pada hari ke-9, disunatkan oleh mazhab Asy-Syafie untuk berpuasa pada hari ke-11. Malah Imam Asy-Syafie ada menyebut dalam kitab Al-Umm disunatkan juga berpuasa pada ketiga-tiga hari ini sekali gus, ke-9, ke-10 dan ke-11. Keempat-empat mazhab melainkan Al-Hanafiyyah mengatakan tiada salahnya berpuasa hanya pada hari ke-10 sahaja, tiada makruhnya sama sekali, ia dibolehkan. (Rujukan: Fiqhul Islam Wa Adillatuh karangan Wahbah Zuhailiy)



++ Maka kaedah berpuasa untuk hari ‘Asyuuraa’ mengikut keutamaan:

1) Hari ke-9 + hari ke-10 + hari ke-11.

2) Hari ke-9 + hari ke-10.

3) Hari ke-10.

(Rujukan: Zaadul Ma’ad karangan Ibnu Qayyim)

Tuesday, December 22, 2009

Mendaratnya Pesawat KBM SSQ+5R


Bismillahirrahmanirrahim..

Berakhir sudah program tahunan KBMKL iaitu KBM SSQ+5R yang dijalankan pada 9 - 12 Disember 2009.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan.

Pengalaman yang tak mungkin dapat kami lupakan, bersama adik-adik kasih dan sayang yang cukup ceria, sporting dan bersemangat. Kalian memang best dan sememangnya..

MENYERLAH JAUH DARI YANG BIASA!!


Berikut berita tentang KBM SSQ 5R yang tersiar di laman ~Malaysia Harmoni~


+++++++++++++++++++++++++





HULU LANGAT, 13 Disember - Ego seorang manusia boleh dilunturkan dan dipandu jika kena gaya dan suasananya. Itulah hakikat yang berlaku ke atas lebih 100 orang pelajar berumur antara 11 hingga 16 tahun dalam program Keindahan Bersamamu (KBM) yang berakhir tengah hari semalam. Program empat hari tiga malam ini adalah anjuran KBM Kuala Lumpur, yang bergerak di bawah KRJ atau Kelab Remaja Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Menurut Pengerusi KBMKL, Hasan Unir, program KBM kali ini dibuat sempena cuti sekolah dan melibatkan pelajar dari berbagai-bagai tempat termasuk dari Terengganu dan Sarawak.

"Majoriti pelajar adalah dari Lembah Kelang. Jumlah mereka yang terlibat adalah 106 orang (66 lelaki dan 40 perempuan) manakala fasilitator yang kita sediakan terdiri daripada enam lelaki dan enam perempuan. Kebanyakan fasilitator adalah pelajar institut pengajian tinggi tempatan yang sedang bercuti," katanya.

KBM menghidangkan pelbagai aktiviti praktikal yang memang digemari remaja seperti trekking dan aktiviti lasak selain forum remaja, pertunjukan multimedia, sesi muhasabash diri dan lain-lain," demikian pula jelas pengarah program kali ini, Khalil Che Ibrahim. "Program ini kita namakan KBM SSQ+5R yang khusus menekankan aspek Solat, Studi dan al-Quran di samping 5 ciri remaja iaitu amal, faham, inovatif, bermanfaat dan berpasukan."

Rata-rata anak-anak dan ibu bapa berpuas hati dengan pengisian yang disediakan. Meskipun tidak melibatkan ceramah, aktiviti amali yang disulam dengan kata-kata motivasi begitu menyentuh perasaan. Kesedaran, keinsafan dan keazaman jelas terpancar pada hari terakhir apabila anak-anak dipertemukan semula dengan ibu bapa mereka. Sebaik sahaja dilepaskan, masing-masing meluru mencari ibu bapa masing-masing, kebanyakannya dengan deraian air mata, memeluk, mencium sambil memohon maaf atas segala kesilapan mereka selama ini. Ibu bapa pula, yang sebelumnya telah 'dilembutkan' hatinya selama lebih kurang tiga jam dengan penerangan dan pertunjukan slaid, kelihatan menyambut anak mereka dengan begitu insaf sekali.

Anak-anak dan ibu bapa seterusnya diberi peluang keluar ke hadapan untuk melontarkan apa sahaja luahan hati. Muadz bin Mat Rahat (gambar), pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Alam Shah Kuala Lumpur tampil mendahului peserta lain. Dengan nada sebak, beliau yang ketika ini ibu bapanya masih di Makkah mengingatkan rakan-rakannya supaya benar-benar mempamerkan kasih sayang kepada ibu bapa sebelum terlambat.

"Hari ini saya mungkin bersedih kerana tidak ditemani emak dan ayah saya. Namun saya ingin nasihatkan, anda yang ada ibu bapa di sini, jagalah hati mereka. Jadilah anak yang menggembirakan mereka. Tunjukkan kasih sayang anda kerana mereka ada di sisi anda sekarang, tapi ibu bapa saya masih di Makkah dan paling awal pun pulang pada 26 haribulan ini...," kata Muadz tersekat-sekat.

Kemudian bangun pula Nurulfatihah binti Amir, 16, yang datang dari Miri, Sarawak. Beliau yang ditemani ibunya, Balkisnah bertolak dari Bumi Kenyalang 3 Disember lalu bersama ayah dan seorang kakaknya untuk menghadiri satu perhimpunan pertubuhan bukan kerajaan peringkat nasional, tetapi ayahnya terpaksa pulang dahulu atas urusan kerja. Memandangkan program KBM sukar ditemui di Sarawak, keluarga tersebut mengambil keputusan untuk menyertainya di sini.

Bagi Abdul Basir (gambar), 53, yang bertugas di Pernec, Kuala Lumpur, program motivasi seperti ini sangat baik kerana ia mendidik dan membuka minda anak-anak remaja, lebih-lebih lagi dalam keadaan ibu bapa sekarang yang sering sibuk dengan tugasan harian.

"Biasanya hari Sabtu saya peruntukkan khusus untuk beriadah dengan bermain badminton kerana pada hari-hari lain saya sibuk, tetapi entah macam mana hari ini hati saya tergerak untuk meluangkan masa bersama anak saya di sini kerana saya menganggap program ini penting untuk ibu bapa dan anak," ujarnya disambut tepukan daripada hadirin. Beliau juga berterima kasih kepada majikannya yang menaja seramai 35 orang anak pekerja-pekerjanya untuk menyertai KBM ini.

Barangkali tumpuan patut juga diberikan kepada Dr Mohammad Rizal Salim, 42, yang menghantar tiga orang anak lelakinya ke program ini. Pensyarah University of Nottingham, Malaysia Campus, Semenyih ini mendaftarkan anak-anaknya Hussein, 15, Ridhuan, 13, dan Aiman, 11, kerana berpendapat pendedahan dalam program motivasi seumpama ini bagus untuk memberi kesedaran kepada anak-anak. "Selain dapat menyedarkan anak-anak tentang susah payah ibu bapa mendidik dan membesarkan mereka, ia juga dapat mengisi masa anak-anak yang kalau di rumah selalunya terbuang dengan aktiviti yang tidak bermanfaat. Di sini, mereka dapat belajar banyak perkara tentang kehidupan."

Menurutnya lagi, anak-anaknya sangat berminat untuk menyertai KBM ini kerana yang paling tua antara mereka, Hussein pernah menyertai program serupa di Kuala Lumpur setelah diajak oleh bapa saudaranya. Mendapati pengisiannya lain daripada yang lain, Hussein menggalakkan adik-adiknya meyertai KBM SSQ di Hulu langat ini.

Sejak dua tahun lalu, KBMKL telah berjaya mengadakan lebih 70 perkhemahan KBM di sekitar Lembah Kelang. Menurut seorang fasilitatornya, Faridah Maluddin (gambar), 46, KBM adalah sebuah program bersepadu yang membawa anak-anak melayari perjalanan spiritual dalam hubungan dengan Allah, Rasulullah, ibu bapa dan rakan-rakan.

"Anak-anak perlu dibimbing untuk mengenali jati diri mereka yang sebenarnya. Selama ini mereka lalai dan tidak tahu. Buktinya, apabila ditanyakan soalan 'who you are?' ramai yang tidak dapat menjawabnya," kata Faridah yang dipanggil 'Umi Ida' oleh para peserta. "KBM terdapat dalam empat versi iaitu untuk remaja, belia, pelajar IPT dan dewasa. Jemputan daripada pihak luar, terutamanya sekolah-sekolah memang banyak, tetapi KBMKL terpaksa menyusun jadualnya kerana kami bagaikan 'tak menang tangan'. Insya-Allah, kami sedang berusaha untuk menambahkan para pengendali program supaya masyarakat mendapat manfaatnya bersama," tambahnya lagi.

Seorang lagi fasilitator yang agak popular dalam kalangan peserta, Muhammad Hafiz (gambar) atau 'Abang Bai' mendedahkan pengalaman beliau mengendalikan KBM pada hampir setiap minggu.

"Saya yakin ada ibu bapa yang tidak menyangka hari ini anak mereka boleh menitiskan air mata, sedangkan pada hari-hari sebelumnya mereka melihat anak itu gembira, seronok, ego, nakal dan sebagainya. Bagaikan mustahil mereka akan menangis. Tetapi hari ini mereka menangis dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Kenapa?" soalnya kepada para hadirin. "Sebabnya, sepanjang empat hari ini mereka didedahkan dengan suasana yang solehah, menyebabkan mereka sedar dan insaf sebagai hamba Allah. Tetapi jika kita biarkan, dua tiga minggu lagi jiwa yang sama akan kembali kepada keadaan yang sama seperti sebelumnya. Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa di rumah dalam memastikan suasana yang baik ini berterusan untuk anak-anak mereka."

KBM SSQ + 5R ini diadakan di Impian Country Resort, Batu 14, Sungai Semungkis, Hulu Langat di atas sebidang tanah seluas 10 ekar. Tapak perkhemahan ini diusahakan sejak empat tahun lepas oleh seorang pesara guru yang juga seorang perunding motivasi, Dr Warnoh Katiman (Pak Wan), 63, yang berasal dari Kuala Selangor. Selain kemudahan perkhemahan yang agak lengkap, pihaknya juga menawarkan modul latihan jika pihak penganjur tiada modul sendiri, dan harga yang dikenakan juga berpatutan.

Jika Aku Jatuh Cinta

Jika Aku Jatuh Cinta

Bismillahirrahmanirrahim..


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...



Sahabat-sahabat..bukanlah aku ingin mengajak atau membawa kalian berada dalam dunia cinta sehingga lupa pada yang lebih utama. Namun ku cube memberi kalian dan diriku peringatan kerna diri kita tidak dapat menolak rasa cinta itu dari lahir dan kembang bak bunga yang segar dalam diri kita ini. Semoga cinta yang tersemai atau baru berputik dalam hati kita dapat membawa kita lebih dekat dengan Allah yang Esa..insyaAllah...renung-renungkanlah kata-kata ku ini buat kita bersama..Sahabat..





Ya Allah jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-Mu,
agar bertambah kekuatanku untuk menyintai-Mu.


Cinta merupakan fitrah bagi manusia namun ingatlah manusia itu berbagai-bagai jenis adanya,maka cinta yang fitrah itu akan mengikut pada siapa lahirnya ia. Jadi sahabat-sahabat, sama-samalah kita memohon pada Allah yang Esa temukan kita kepada kekasih yang fitrah cintanya suci nun kepada Yang Esa dan semoga cinta itu memberi kekuatan kepada kita dalam menggapai cinta Allah Yang Esa.


Ya Muhaimin jika aku jatuh hati,
izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padamu,
agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu.


Sahabatku semua, hati amatlah lembut dan anggota paling utama dalam jasad kita yang sementara ini. Jika iman yang kita isikan ke dalamnya maka baiklah dan bergembiralah kita namun jika nafsu yang mengatasi segalanya maka musnahlah kita di dunia dan nun akhirat sana.


Ya Rabbana jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya,
agar tidak berpaling daripada hati-Mu.

Ia kita manusia tak dapat menolak cinta itu hadir dalam hati kita ini kerana ia sudah fitrah Allah menjadikan kita.Namun rugilah kita jika membiarkan cinta yang hadir mengisi hati kita ini menjauhkan dan melupakan kita pada Allah Yang Esa.


Ya Rabbul Izzati jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid dijalan-Mu.

Bila bercinta sudah tentu timbul perasaan rindu.Inilah sebenarnya kenikmatan cinta wahai sahabat ku semua. Namun kemanakah kerinduan itu hendak kita dayungkan amatlah penting untuk kita fikirkan bersama.


Ya Allah jika aku menikmati cinta kekasih hatiku,
janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan
indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu.

Cinta nikmatnya amatlah terasa sekali.Mana taknya hati sentiasa gembira dan fikiran sentiasa tenang dengan adanya cinta dari si dia yang di cintai.Namun lupakah kita nikmat cinta itu hanya sementara jika nak kita bandingkan kenikmatan yang Allah janjikan pada kita jika bersengkang mata pada perngakhiran malam-Nya.

Ya Allah jika aku jatuh hati pada kekasih ku,
jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh,
dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadamu.


Sahabat bila dah cinta,apa sahaja sanggup kita korban hatta nyawa kita sendiri semata-mata kekasih hati kita. Namun jangan biar cinta itu alpakan kita daripada tanggungjawab dan taklif kita untuk mengajak manusia menuju Allah Yang Esa.Jika ia berlaku celakalah kita nun di akhirat sana.


Ya Allah jika kau halalkan aku merindui kekasihku,
jangan biarkan aku melampaui batas,
sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu.

Sahabat jika merindui kekasih hati kita jangalah ia melebihi cinta dan rindu kita pada Allah Yang Esa yang sudah pasti hakiki seharusnya.

Saturday, December 5, 2009

Warna-warni ujian dunia


Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah diumumkan Khamis lepas, ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah selesai manakala ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berjalan.

Sewaktu membaca baris demi baris laporan ujian-ujian tersebut, khususnya kejayaan calon UPSR dan calon SPM yang terpaksa mengharungi banjir, teringat pula akan isi khutbah Jumaat di sebuah masjid di Kajang yang disampaikan oleh seorang ‘ustaz selebriti’ beberapa hari lalu. Ustaz ini sering muncul bersama isterinya dalam sebuah program terbitan syarikat televisyen swasta. Jadi, rasanya tidak salah kalau menggelarnya sebagai selebriti.

Intipati khutbah tersebut adalah berkaitan ujian juga, tetapi ujian hidup yang tidak kunjung padam di dunia ini. Setiap insan akan merasai warna-warni ujian dalam hidupnya. Sama ada ujian itu pahit atau manis, tindakbalas hatinya penting dalam melayani ujian tersebut, yang bakal mencorakkan kehidupan seterusnya.

Asal saja seseorang itu manusia atau hamba Allah, dia pasti diuji dengan berbagai-bagai perkara. Orang-orang yang beriman harus memahami tujuan ujian ini sama ada sebagai penghapus dosa atau pengangkat darjat, tetapi boleh jadi juga ia sebagai suatu penghinaan lantaran sikap kufur atau tidak bersyukur.

Reaksi manusia menerima ujian bergantung kepada hatinya. Hati ini pula perlu ditilik, sama ada sihat atau sakit.

Kekayaan, walaupun diburu begitu ramai orang, sebenarnya merupakan satu bentuk ujian. Hati yang sakit mengaut segala kekayaan hanya untuk dirinya, menjadikan pemiliknya angkuh dan kedekut. Dia tidak pernah senang dengan orang susah, masjid atau pertubuhan kebajikan yang mendambakan sumbangannya. Sebaliknya, hati yang sihat mampu membentuk jiwa pemiliknya yang kaya-raya menjadi seorang yang pemurah lagi dermawan.

Orang yang dilanda kemiskinan pula akan dirundung penyakit keluh kesah jika hatinya sendiri sakit, tetapi akan berasa bahagia andai hatinya sihat.

Nikmat kesihatan juga, di samping satu anugerah, adalah ujian daripada Allah. Hati yang sakit merasakan kesihatan dirinya adalah disebabkan kebijaksanaannya menguruskan diri, mengamalkan pemakanan yang sihat, membuat pemeriksaan kesihatan berkala, melakukan aktiviti riadah dan sebagainya. Akhirnya dia menjadi sombong. Tidak kita nafikan perkara-perkara tadi sememangnya penting, bahkan dituntut oleh agama, tetapi ia tidak selesai di situ sahaja. Ia berkait rapat dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah. Hati yang sihat dengan penuh tawaduk mengakui hakikat ini, menjadikannya seorang yang bersyukur lalu menterjemahkan kesyukuran itu dengan amalan soleh.

Ujian kesakitan pula memaparkan wajah berbeza. Hati yang sakit menjadi bertambah sakit kerana jiwa pemiliknya meronta tidak sabar dengan penyakit yang dialami. Bayangkanlah seorang yang lumpuh akibat penyakit angin ahmar sehingga berbelas-belas tahun lamanya. Hampir seluruh hidupnya hanya di atas kerusi roda atau di atas katil. Namun, derita yang sama dihadapi dengan tabah dan sabar oleh hati yang pasrah dengan takdir Ilahi.

Contoh-contoh ujian di atas hanyalah sebahagian kecil ujian yang pernah kita jumpa di dunia ini. Banyak lagi ujian lain yang tidak terjangkau oleh akal fikiran. Bagaimanakah keadaan kita sekiranya ditakdirkan menjadi seorang daripada mangsa tsunami yang amat mengerikan pada tahun 2004 dahulu? Bagaimanakah kita jika ada antara ahli keluarga kita yang terkorban dalam gempa bumi di Padang baru-baru ini, atau harta benda kita ranap dalam runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, atau anak kita lemas dalam tragedi banjir yang sedang melanda sekarang?

Bagaimana pula jika orang yang paling kita sayangi disahkan menghidap virus selesema babi, A(H1N1) atau denggi berdarah, atau boleh jadi HIV? Semua ujian ini adalah perkara-perkara yang kita tidak suka. Setiap hari, terutama selepas solat, kita berdoa agar Allah menjauhkan diri kita dan keluarga daripada malapetaka, penyakit dan keburukan di dunia mahupun di akhirat.

Akhirnya, satu soalan yang mungkin membuat kita termenung sejenak, “Bagaimana kalau tiba-tiba sewaktu menyemak baki akaun di bank, kita dapati jumlahnya adalah RM7 juta, sah milik kita dan sedia untuk dibelanjakan?”

Kata orang-orang bijak pandai, ‘orang yang berwaspada adalah mereka yang merancang untuk melakukan perkara-perkara kebaikan dan tidak bertangguh-tangguh mengerjakan amal soleh.’

Lestari kasih seorang ayah

“Burung apa?”
“Burung murai.”
“Burung apa?”
“Burung murai.”
“Burung apa?”
“Burung murai.”

Demikian antara ungkapan sebuah iklan terkenal di kaca TV suatu masa dahulu yang mendapat perhatian rakyat Malaysia. Dialog yang menyentuh hati antara seorang anak dengan ayahnya ini sangat sesuai untuk didedikasikan kepada masyarakat sempena Hari Bapa. Mesej yang hendak disampaikan cukup jelas, mampu meruntun hati dan jiwa anak-anak yang sebahagiannya mungkin terlupa bagaimana lelaki bernama Bapa atau Ayah membesarkan mereka.

Sketsa bermula apabila seorang bapa yang uzur bertanya kepada anaknya, yang sudah berkerjaya dan berkeluarga, akan nama seekor burung yang dilihatnya. Anaknya menjawab lembut, “Itu burung murai, abah.”

Tiba-tiba ayahnya bertanya soalan yang sama dan dijawab lagi oleh anaknya. Kali keempat ayahnya bertanya, nada jawapan si anak mula berubah. “Abah... abah ni tak dengar atau sengaja buat-buat tak dengar? Kan saya dah beritahu tadi, itu burung murai.”

Sambil tersenyum si ayah menghulurkan diari milik Almarhum isterinya kepada si anak. “Nah, cuba baca apa yang Mak kau tulis.”

Si anak menyambut diari tersebut lalu membacanya. Ibunya mencoretkan bagaimana bahagianya dia melihat suaminya yang jarang berada di rumah melayan kerenah anak sulung mereka di halaman. Tiba-tiba si anak terlihat seekor anak burung murai terjatuh dari sarangnya. Dia pun menjerit memberitahu ayahnya lalu bertanya, “Abah, itu burung apa?” Ayahnya menjawab, “Burung murai, nak.”

“Burung apa?” tanya si anak lagi.
“Burung murai,” jawab si ayah.
“Burung apa?”
“Burung murai, sayang”

Si anak terus mengajukan soalan yang sama berulang-ulang kali, namun ayahnya tetap setia menjawab tanpa jemu.

Begitulah antara sketsa kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya yang dipaparkan kepada kita. Kalau kasih ibu dikatakan membawa ke syurga, bagaimana pula kasih ayah? Ya, ada orang berkata, kasih ayah tetap hangat di mana-mana. Memang benar. Lantaran seorang ayah selalu dikaitkan dengan orang yang mencari rezeki dalam keluarga, setiap langkahnya untuk mendapatkan sesuap nasi pasti telah diniatkan sejak awal untuk menyara keluarganya, memberi makan isterinya dan membesarkan anak-anaknya, demi Allah.

Bayangkanlah dalam sebuah keluarga yang hanya si bapa bekerja, sudah tentulah bapa ini bertungkus-lumus membuat kerja itu dan ini, sepenuh masa dan separuh masa, sepenuh hati dan separuh mati, semata-mata untuk mendapatkan rezeki yang halal. Bayangkanlah para bapa yang ditugaskan di luar daerah atau luar negara untuk satu jangka masa yang lama. Perasaan rindu terhadap keluarga, rumahtangga dan kampung halaman terpaksa dipendamkan demi kerjaya. Semuanya dilakukan demi kasih sayangnya terhadap isteri dan anak-anak. Apatah lagi seorang bapa yang beriman, pasti besar impiannya untuk melihat anak-anak yang dididiknya berjaya menjadi insan yang soleh dan solehah. Pasti tinggi cita-citanya untuk menyaksikan zuriatnya menjadi pewaris yang memimpin dunia ini ke mercu kehidupan yang diredhai dan diberkati Ilahi.

Terima kasih Ayah, Abah, Apak, Papa, Abi, Bapak, Daddy..... Kami mendoakan semoga Allah memanjangkan umurmu. Biarpun dirimu telah pergi, nama dan kebaikanmu tetap hidup sepanjang usia. Kami mendoakan semoga Allah mengampuni dosamu dan mengasihanimu sebagaimana dirimu mengasihi kami sejak kami kecil sehingga sekarang.

Ya Allah, terimalah segala amalan kebaikan bapa kami dan tempatkanlah dia dalam kalangan orang-orang yang mendapat kasih sayang-Mu. Amin.

Tentang Filem '2012'


Sejak akhir-akhir ini heboh diperkatakan bahawa berakhirnya kehidupan dunia adalah pada 2012. Visualisasi melalui sebuah filem Hollywood yang diberi nama ‘2012’ kini menjadi perbincangan hangat masyarakat dunia, termasuk di Malaysia. Berita kiamat yang bersumber dari Kalender Maya dianggarkan terjadi pada 21 Desember 2012.

Dasar hujahan kiamat akan datang pada 2012 adalah sekali dalam setiap 25,800 tahun. Matahari sejajar dengan pusat Bima Sakti yang menandakan matahari berada di titik terendah kaki langit. Peristiwa itu akan terjadi pada 21 Desember 2012.

Pendapat tersebut diyakinkan oleh pakar astronomi bahawa penjajaran atau gangguan magnetik boleh menimbulkan pergeseran kutub. Diperkirakan pergeseran kutub-kutub itu berlangsung selama satu juta tahun.

Dalam karya Arguelles berjudul "The Mayan Factor: Path Beyond Technology" (Bear & Company, 1973) diungkapkan bahawa sistem kalender suku Maya mencatatkan, akan terjadi putaran besar (the great cycle) yang dijangka lima ribu dua tahun lebih pada galaksi tata suria, iaitu waktunya dari 3113 Sebelum Masihi (SM) hingga 2012 Masihi.

Kalender hitungan milik suku Maya dimulai pada tahun 3113 SM hingga 2012 Masihi. Kalender ini menandakan putaran 394 tahun sebagai Baktun. Angka tiga belas adalah angka penting dan genting bagi kaum Indian Maya. Suku ini memercayai Baktun ke-13 berakhir sekitar 21 Disember 2012.

Filem 2012 memperlihatkan gambaran datangnya kiamat berbentuk gempa bumi, hujan meteor dan gelombang tsunami yang mencampakkan sebuah kapal induk ke Rumah Putih, kediaman Presiden Amerika Syarikat.

Filem karya Roland Emmerich itu menghadirkan kesan khas (special effect) yang menarik dengan visualisasi lapisan bumi retak, tanah merekah dan bergoncangan di mana-mana. Imbasannya memperlihatkan kesan domino yang tragis iaitu gedung-gedung ranap, jalan-jalan bersimen dan berturap habis hancur, menghentam setiap kenderaan yang bergerak di atasnya. Kejadian itu merupakan efek gempa bumi maksimum berskala 13 Richter.

Selanjutnya terjadi hujan meteor berdiameter 3-6 meter yang jatuh dari awan di langit biru. Hentamannya menimbulkan getaran maha dahsyat sehingga menimbulkan lubang-lubang di tanah.

Kesan susulan daripada hujan meteor itu adalah permukaan laut menaik, menimbulkan gelombang setinggi ribuan meter. Dahsyatnya hujan meteor hingga puncak Himalaya pun tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.

Sebelumnya, Emmerich menggarap sejumlah filem penuh efek lainnya, seperti Independence Day, The Day After Tomorrow, dan 10,000 BC.

Ramalan ilmiah

Sebelum berjaya diangkat ke layar perak, perbincangan tentang kiamat 2012 di mulakan dengan penerbitan buku-buku yang memiliki kekuatan menyingkap rahsia yang akan terjadi pada tahun tersebut. Buku itu antara lain: "Apocalypse 2012: An Investigation into Civilization' s End", "2012: Mayan Year of Destiny", "Beyond 2012: Catastrophe or Awakening?", "2012: Science or Superstition", "The Mystery of 2012: Prediction, Prophecies and Possibilities", "How To Survive 2012", "Unlocking the Secrets of 2012", dan "Fractal Time: The Secret of 2012 and a New World Age". Daripada sejumlah buku di atas, buku "Apocalypse 2012: An Investigation into Civilization' s End" karya Lawrence E Joseph telah diterjemahkan ke dalam versi Bahasa Indonesia oleh penerbit Gramedia.

Sumber penulisan buku ini oleh penulisnya berasal dari sejumlah hasil seminar, jurnal ilmiah dan sejumlah temuan misi luar angkasa NASA (badan angkasa Amerika Syarikat) dan ESA (badan angkasa Eropah) serta wawancara dengan para pakar fizik dan ilmuwan luar angkasa yang sedang demam 2012.

Berdasarkan buku tersebut, bolehlah dikatakan bahawa penulisannya mengungkapkan akan terjadinya peristiwa alam maha dahsyat pada 2012 yang dapat disebut sebagai Hari Kiamat. Bencana itu disebabkan oleh berbagai-bagai faktor seperti radiasi (cahaya) panas matahari, kesan badai awan dan bintang, perubahan drastik yang terjadi di muka bumi kerana pemanasan global, pergeseran medan magnet bumi, koyaknya perisai magnet bumi dan hentaman antara planet hingga berkecai. Penulis buku tersebut bukan hanya mengetengahkan cerita Hari Kiamat berdasarkan ramalan suku Maya, juga mengajak pembaca berkelana memasuki rahsia bumi, alam semesta, matahari, sistem suria, galaksi, dan luar angkasa.

Buku-buku lain mengkhabarkan peristiwa terputusnya pancaran dari pusat galaksi yang akan merosakkan mekanisme normal sistem suria dan bumi. Kesannya adalah dislokasi dalam skala global berupa bencana kerana terjadinya pergeseran konfigurasi planet walaupun kecil.

Apabila bencana itu datang, diperkirakan tidak semua permukaan bumi akan luluh hancur sehingga menyebabkan kehidupan manusia menjadi musnah. Para ilmuan dan astronomi sedang merancang senario terburuk, termasuk dengan pendekatan ilmu kesihatan darurat. Tugas para ilmuan bukan saja berupaya menyingkap rahsia alam semesta, tetapi juga berupaya meramal dan mencari alternatif jalan keluarnya secara ilmiah.

Kini para ilmuan sedang mencari jawapan mengenai hubungan titik matahari dan ledakan-ledakan matahari dengan fenomena yang terjadi di muka bumi seperti gempa, badai, letusan danau dan pelbagai angin taufan. Pada dekad 1970-an, lebih daripada 10 satelit penelitian matahari diluncurkan sejak Helios I dan II menjelajah angkasa. Majoriti satelit tersebut dikirimkan oleh NASA dan ESA.

Pada tahun 1980, dikirim lagi misi Maksima Matahari bertujuan mengamati aktiviti suria pada puncak jangka titik matahari. Sedangkan pada tahun 1990 diluncurkan satelit Ulysses dengan tujuan khusus pada bahagian tertentu spektrum matahari seperti sinar -X, ultraviolet dan angin suria.

Satelit sebesar kenderaan BMW itu, dengan kelajuan 56,000 kilometer sejam, telah menempuh perjalanan hampir 8.85 juta kilometer atau sepadan dengan tiga kali putaran orbit matahari. Satelit ini mengakhiri tugasnya pada Jun 2009 lalu yang ditaja NASA dan ESA. Lebih daripada 1,000 artikel ilmiah dan dua buku dihasilkan daripada informasi yang diperoleh Ulysses.

Misi Ulysses berjaya mengungkap adanya angin suria dan faktor-faktor penyebabnya, selain mendalami partikel-partikel yang dipancarkan oleh matahari ke seluruh sistem suria. Ternyata aliran kuat partikel-partikel subatom yang memancar dari matahari hingga lebih satu kilometerl sejam berkurang hingga level terendah dalam 50 tahun terakhir.

Data berharga lainnya adalah info mengenai kawasan kutub matahari, debu angkasa di sistem suria, planet Jupiter dan objek transitnya. Info baru yang boleh diketahui manusia adalah soal heliosfer.

Heliosfer adalah selubung pelindung yang dihasilkan matahari melalui anginnya kepada bumi dan tujuh planet lain yang mengitarinya. Angin suria itu berperanan menyapu radiasi dan sinar kosmik yang datang dari galaksi lain.

Secara teori, heliosfer yang semakin lemah akan membuatkan masuknya sinar kosmik ke dalam sistem suria dan akan menjadi semakin besar. Radiasi sinar kosmik yang semakin kuat tentu membahayakan para angkasawan ketika berada di luar angkasa.

Ramalan lain daripada para ilmuan adalah bakal terjadinya badai matahari dahsyat yang belum pernah terjadi dalam sejarah pada 2012 nanti. Seorang ilmuan dari Lembaga Penerbangan dan Angkasawan Nasional (LAPAN) di Indonesia, Bambang S Tedjakusuma mengetengahkan, yang akan muncul pada sekitar 2011-2012 adalah badai matahari.

Ramalan ini berdasarkan pemantauan pusat pemantau cuaca angkasa pada beberapa negara semenjak tahun 1960-an di Indonesia oleh LAPAN sejak tahun 1975.

Badai kecil matahari pernah terjadi pada 4 November 2003 yang mengakibatkan saluran telekomunikasi seluruh dunia mengalami gangguan. Di Amerika Syarikat kala itu muncul sinar kutub yang sangat luas di California, sedangkan di Sweden sekitar 500 ribu penduduknya tidak memperoleh kemudahan aliran elektrik. Isyarat awal badai matahari adalah bintik matahari yang akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

Sebagai satu ramalan, peristiwa itu boleh saja terjadi atau sebaliknya boleh tidak terjadi. Tugas para ilmuan adalah menyedarkan masyarakat dan mengingatkan pemerintah agar mempersiapkan langkah yang akan terjadi berbentuk penyiapan sistem kesihatan darurat agar tidak memakan korban jiwa dan kerugian material yang banyak.

Pada umumnya ada tiga langkah dalam sistem kesihatan darurat iaitu alert sign (meningkatkan kepedulian bencana), warning sign (meningkatkan perhatian terhadap tanda bersiap sedia) dan alarm sign (tindakan segera terhadap bahaya bencana).

Walaupun filem ini digarap dalam bentuk fiksyen, ia menyerlahkan keyakinan manusia bahawa alam ini suatu hari nanti pasti akan musnah. Kajian-kajian dan pemerhatian secara saintifik mendorong mereka membuat ramalan bahawa 21 Disember 2012 adalah tarikh hari besar tersebut.

Jadi, apakah sikap kita?

Setakat mempercayai bahawa alam ini akhirnya akan musnah sesungguhnya selari dengan keyakinan kita, umat Islam, yang beriman kepada hari akhirat. Namun, waktu sebenarnya berlaku kiamat itu tetap berada dalam pengetahuan Allah yang Maha Mengetahui. Tugas kita di dunia hanyalah terus menjadi hamba dan khalifah-Nya, terus mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Maksudnya, kehidupan mesti diteruskan sesuai dengan tuntutan Ilahi, bukan asyik berkeluh kesah mendengar ramalan itu dan ini.

Ingatlah pesanan Rasulullah sallallahualaihi wasallam:

“Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanamnya dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.”

Impak rancangan TV realiti terhadap remaja


Siapa yang tidak kenal dengan Zahid, Mawi mahupun Faizal Tahir? Kelibat anak-anak muda tersebut tiba-tiba menjadi buah mulut rakyat Malaysia setelah berjaya memenangi rancangan hiburan berbentuk TV realiti. Rancangan Akademi Fantasia, Malaysian Idols dan sebagainya menimbulkan kegilaan warga muda terutamanya untuk mengejar impian menjadi jutawan dalam sekelip mata.

Apa yang menimbulkan kegilaan segelintir individu hasil daripada rancangan sedemikian? Kajian menunjukkan kepuasan untuk berhibur dan menyelami perasaan keseronokan membuatkan mereka leka untuk mengikuti perkembangan peserta rancangan TV realiti walaupun mengetahui ada kalanya apa yang dipertontonkan sesetengahnya lakonan semata-mata. Kebijaksanaan penganjur program memanipulasi emosi penonton berjaya menarik kesetiaan penonton kepada stesen televisyen tertentu.

Natijahnya, apabila timbul rasa ketagih kepada program sedemikian, maka timbullah masalah seperti pengabaian terhadap ibadah, percampuran ketika konsert mingguan, sanggup bersengkang mata dan mengabaikan tugas harian lantas menurunkan tahap produktiviti kerja. Unsur khayalan yang terlampau akan menyebabkan penonton sanggup berhabis wang untuk turut sama mengundi artis kesayangan. Sebanyak RM 7.5 juta dikaut oleh rancangan AF musim kedua melalui 15 juta SMS yang dihantar sejak rancangan itu disiarkan pada 12 Jun 2004 (Utusan Malaysia 16 Ogos 2004). Itulah penangan AFUNDI yang dicaj 50 sen satu SMS. Ini tidak termasuk kegilaan untuk memenuhi kotak peti suara telefon bimbit dengan nada dering yang pelbagai.

Begitulah sedikit sebanyak impak rancangan realiti televisyen terhadap minda dan sikap remaja. Bayangkan budaya ini terus meresapi minda anak-anak muda kita andainya tiada program alternatif disediakan. Berapa banyak wang yang akan terbuang begitu sahaja dan bagaimana masa ideal remaja dipenuhi hanya demi keseronokan yang tidak bersempadan.

Rancangan alternatif

Orientasi rancangan bercorak TV realiti harus ditelusuri kembali agar penonton tidak terus dibuai fantasi yang tidak berkesudahan. Usaha penerbitan rancangan berunsur dakwah di televisyen harus diperhebat bagi menyaingi rancangan sebegitu. Malah bukan tiada program TV realiti alternatif yang cuba menyaingi program hiburan selama ini disiarkan.

Rancangan seperti Akademi Nasyid siaran TV9 pernah mencetuskan fenomena baru bagi peminat seni . Ternyata ia memberi alternatif pencinta lagu dan nasyid untuk bersama menghayati erti kesenian Islam. Ia dapat menarik minat sebahagian remaja untuk menelusuri gaya hidup Islam yang tidak mengharamkan hiburan asalkan mengikut syarak dan tidak membawa kepada kelalaian serta kesesatan. Komen-komen juri yang ada kalanya menerapkan unsur dakwah menunjukkan tersedianya ruang dakwah melalui media. Hal ini membuktikan dakwah boleh diterapkan melalui kesenian di media.

Selain itu, TV9 juga pernah menyiarkan rancangan Cari Menantu dalam usaha mencari pasangan ideal yang hebat penampilannya serta kukuh ilmu agama di dada. Rancangan ini juga berjaya menarik minat golongan belia berdasarkan sambutan diberi ketika sesi uji bakat dijalankan. Selain daripada menerima ganjaran dan tajaan perkahwinan, ia memberi ruang dan peluang kepada pasangan untuk mendalami ilmu-ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Ia penting sebagai persediaan buat melayari bahtera perkahwinan. Inilah bentuk program TV realiti ilmiah yang sesuai sebagai alternatif kepada program hiburan semata-mata. Program sebegini dilihat berbentuk dakwah melalui media yang juga mendedahkan nilai-nilai dan amalan budaya ketimuran buat golongan bukan Islam. Tidak mustahil ada yang tertarik kepada Islam setelah ditonjolkan keindahan adat dan ibadat golongan Melayu dan penganut Islam.

Bagi peminat seni taranum, program Akademi Al-Quran siaran TV9 adalah pilihan terbaik. Program yang telah melahirkan qari dan qariah muda berbakat memaparkan realiti pembelajaran seni taranum dan qiraat al-Quran yang pelbagai. Keindahan seni dalam bacaan al-Quran dapat dipelajari dan dihayati di samping penonton dihidangkan dengan aktiviti pembelajaran para peserta. Program dakwah sebegini walaupun masih baru sebenarnya mempunyai potensi besar dalam mempengaruhi dan menarik minat golongan muda.

Ringkasnya, kita tidak mahu remaja terus hanyut dengan dunia hiburan yang tidak berkesudahan. Usaha untuk menyediakan program alternatif khusus yang menjurus kepada usaha dakwah harus diperhebat. Semua pihat sama ada pihak penyedia rancangan TV mahupun golongan pendakwah seharusnya bekerjasama bagi memandu golongan remaja agar mereka muncul sebagai kumpulan yang hebat memacu kegemilangan ummah.